Tafsiran Surah An-Naas (Manusia)

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Marilah kita sama-sama memahami apa yang yang tersirat secara muhkamatnya akan surah yang sering kita ajar kepada anak-anak kita serta baik jua kita amalkan sebelum tidur. Allahyarham datuk penulis pernah memberi pesan kepada anak cucunya termasuklah penulis sendiri semasa hidupnya. Katanya, “Bacalah ayat 3-Qul sebelum tidur sebagai pendinding diri daripada sihir di kalangan jin dan manusia”. Alhamdulillah, setelah dibuat beberapa kajian, ya, benar, memang ayat-ayat inilah yang Baginda Rasulullah SAW suruh kita amalkan bagi mengelakkan kejahatan jin dan manusia. Ayat 3-Qul yang dimaksudkan itu ialah Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas. Marilah kita amalkan selagi ada jiwa ini. InsyaAllah. Marilah sama-sama renungkan maksud setiap ayat di dalam surah An-Naas yang penulis rujuk daripada Halaqah.net. Semoga beroleh manfaat dan kefahaman.

 

1. Katakanlah: “Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.

Secara logiknya, kita memerlukan sesuatu yang Berkuasa yang melindungi kita. Sesiapa yang berfikir dengan waras pasti mengakui kebenaran ini. Namun sejauh mana kita merasai Kekuasaan Tuhan dalam jiwa kita? Benarkah hati kita memahami KekuasaanNya atau kita sekadar mengatakan secara zahir sahaja yang kita bertuhankanNya?

Untuk merasakan diri berlindung kepada Allah, kita perlu membangunkan akal kita. Akal umpama langit yang melindungi alam semesta. Akal melindungi manusia dari ditipu-daya. Lemahnya kita umat Islam sekarang kerana tahap akal kita rendah berbanding nafsu. Akibatnya tidak sedar ekonomi kita telah dikuasai bangsa lain. Kerana duduk bertelagah sesama sendiri berebut kekuasaan duniawi, kita gagal menyediakan generasi yang membangun pemikirannya.

Akal adalah tali Allah dan tali Allah ini adalah kukuh jika kita berfikir secara logik dan nyata. Sekadar gah melaungkan memperjuangkan Islam, tetapi tahap akal setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi, tetaplah kita menjadi orang yang diazab. Tidaklah Allah menzalimi sesuatu kaum, melainkan kaum itulah yang menzalimi dirinya sendiri.

2. Raja manusia.

Raja adalah pemerintah kita. Taatilah perintah Allah. Kita tidak akan mampu melawan takdirNya walaupun sesombong mana kita dengan Dia. Sombongnya manusia itu dengan Allah bila dia menolak rasional akalnya sendiri sehingga beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli. Akal umpama tali perhubungan kita dengan Allah. Setiap manusia dibekalkan tali perhubungan ini dengan nombor ID masing-masing. Berhubunglah dengan Raja kita itu menggunakan saluran sendiri, bukannya menumpang atas nama orang-orang terdahulu.

Oleh kerana kita mudah sahaja hendak berfikir, ia menunjukkan begitu mudahnya kita hendak menghubungi Allah. Dia sedia mendengar segala masalah hidup kita jika kita berhubung denganNya. Bukankah Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang? Adakah Dia akan meninggalkan kita jika kita ikhlas mencariNya? Sebenarnya manusia itu yang suka meninggalkan Tuhannya sendiri.

Berfikirlah secara waras dan logik, pasti Allah akan berikan ilham yang membawa petunjukNya untuk kita harungi hidup dengan tenang. Sebab itu orang-orang yang rajin berfikir akan ditenangkan hatinya walaupun diuji dengan pelbagai cubaan. Tidaklah cubaan itu diberi melainkan untuk memantapkan iman manusia itu sendiri. Orang-orang yang beriman adalah insan yang bersedia diuji oleh Allah kerana dia sedar diri yang dia hanyalah makhluk yang diciptakan.

3. Sembahan manusia.

Bila akal menjadi tinggi, manusia akan menjadi rendah diri. Sebab dia sudah nampak logik yang menjadikan akalnya tinggi itu kerana Allah yang membentuk dirinya, bukan kerana kudratnya sendiri. Jika kita anggap ilham-ilham logik yang kita perolehi itu datang dari diri kita sendiri, kita akan jadi bangga diri. Bila bangga diri, mulalah tidak boleh terima pandangan orang lain yang lebih baik dari kita. Walhal orang itu dapat idea itu pun kerana Allah yang sampaikan melalui akal orang itu. Jadi kenapa perlu manusia itu bertelagah kerana berbeza pendapat?

Tunduk merendah dirilah kita kepada Allah. Dia tempat kita bergantung harapan. Jika kita solat seribu kali tanpa rasa bergantung harap kepadaNya, kerana rasa KekuasaanNya itu tidak menyelubungi diri, tidaklah solat ini mampu membawa kita menjadi manusia yang merendah diri, sebaliknya kita jadi manusia yang bongkak. Mulalah rasa riak sebab bersolat lebih banyak daripada orang lain.

Kerana itu, untuk melakukan perubahan diri kepadaNya, mulakan dulu dengan perubahan pemikiran dengan menjadikan berfikir KeagunganNya sebagai amalan. Bukannya berubah dengan membuat ibadah-ibadah zahir yang tidak lagi kita rasai kelogikan disebalik sesuatu ibadah zahir itu. Bersolatlah sekadar termampu dahulu. Kelak setelah hati kita rasai nikmat hidayahNya, kita tidak merasai kesusahan ibadah zahir lagi. Sebab itulah Nabi Muhammad mendapat ibadah solat juga bukan pada wahyu pertama, tetapi setelah baginda mengetahui apa hikmah di sebalik perbuatan solat itu.

4. Dari kejahatan (bisikan was-was) syaitan yang biasa bersembunyi,

Syaitan memulakan kejahatannya dengan membisikkan keraguan atau was-was kepada manusia. Umpamanya bila diajak mengkaji dan menerokai Quran mengikut keupayaan diri, mulalah manusia itu beralasan bahawa hendak fahami Quran kena ada tok guru dan kena guna riwayat hadith. Kalau tak ada itu semua, mereka dakwa ia adalah sesat atau bathil. Adakah mereka tuhan selain Allah yang boleh menghukum sesuatu itu sesat sedangkan banyak kisah para Rasul terdahulu mendapat kitab dan hikmah bila berfikir, biarpun tanpa melalui manusia lain? Apa bukti dan hujah kukuh mereka untuk dipertanggungjawab di hadapan Allah nanti di atas kata-kata yang mereka ada-adakan itu? Sesungguhnya orang-orang yang berdusta akan merasai debarannya di atas setiap kedustaan mereka sendiri. Dan Allah amat cepat azab seksaNya.

Manusia bila diragu-ragukan, hatinya jadi resah. Bila dia resah, otaknya tidak boleh berfikir. Mulalah dia mencari sesuatu selain Allah untuk bergantung. Maka semakin mudah syaitan membelenggu fikirannya untuk ditarik ke arah kesesatan secara beransur-ansur.

Seperti kes kumpulan ajaran sesat yang banyak di negara kita. Semuanya sebab kita sekarang ini diajar beragama secara menurut membuta tuli, bukannya dengan cara membangunkan fikiran. Nampak seorang yang berserban dan berjanggut panjang, terus anggap dia tok guru. Kena pula orang itu pandai membaca Quran dan tahu riwayat-riwayat hadis, habis apa orang cakap ditaksubi. Akhirnya manusia itu tidak sedar dirinya telah disesatkan.

Setiap ajaran Islam itu ada hikmah di sebaliknya. Bukan setakat main buat sahaja. Umpamanya ibadah solat ada rahsia tersendiri yang boleh kita fahami jika kita mengkaji dan menerokainya. Jika orang-orang bukan Islam bertanya sebab apa kita kena bersolat, tidaklah kita jawab sebab Allah dan Rasul suruh, tetapi kita jawab dengan hujah yang logik dan masuk akal agar semua manusia mudah memahaminya. Jadilah kita umat Islam yang berfikiran smart, bukannya sempit dan jumud.

5. yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,

Syaitan ini hanya berbisik pada hati manusia sahaja. Bila manusia itu ingin berfikir dengan rasional, syaitan itu mula berbisik pada hati supaya jangan berfikir. Diletakkan rasa malas dan beban untuk berfikir. Sebab itu kini umat Islam jadi pemalas mengkaji dan meneroka ilmu Allah yang luas, tidak seperti zaman kegemilangan Islam dahulu. Sehingga ada manusia berkata bahawa Quran tidak perlu dikaji lagi kerana ulama-ulama silam telah habis mengkajinya. Ulama-ulama itu mengkaji sesuai mengikut zaman mereka, dia zaman kita ini, kita-kita yang hidup inilah sepatutnya menyambung tugas orang-orang terdahulu. Adakah kita hendak jadi umat Islam yang pemalas dan mengharapkan subsidi dari orang-orang terdahulu? Sedangkan amalan mereka itu adalah untuk diri mereka sendiri, dan amalan kita, kitalah yang kena usahakan sendiri. Bukannya menumpang nama imam-imam terdahulu.

Nampak tak bagaimana syaitan meragui hati kita umat Islam sehingga takut untuk mengkaji Quran? Diserahkan urusan kaji Quran pada sesuatu golongan manusia (ulama). Seolah-olah hal agama ini adalah perkara eksklusif untuk sesuatu pihak sahaja boleh bercakap tentangnya. Akhirnya kita telah meniru cara pihak Kristian di zaman gelap dahulu yang menghadkan urusan agama di dalam kekuasan pihak gereja sahaja. Maka orang-orang awam mula ambil tak endah pasal agama. Bagi mereka hal-hal agama ini biar ulama-ulama yang fikirkan. Kesannya macam kita lihat sekarang inilah, hilangnya ruh Quran di jiwa umat Islam kerana syaitan yang meragu-ragukan di dalam dada telah berternakan.

Hati atau jiwa yang tersembunyi dalam dada kita adalah pusat pemerintahan bagi seseorang manusia. Jika pusat kawalan ini telah dikuasai syaitan, habis rosaklah sekujur jasad manusia itu biar macam mana kaya, berpangkat, hensem atau cantik manusia itu. Sebab itulah Allah tidak memandang pada zahir manusia, tetapi pada hati kita. Dan kerana itu, hendak perbetulkan umat, betulkanlah hati kita dahulu. Sikap nak betulkan umat dengan mencari kesalahan orang lain itulah yang menyebabkan umat jadi berpecah-belah. Jika kita masing-masing ada kesedaran hendak memperbetulkan diri sendiri, barulah umat boleh diperbetulkan. Jika kita salahkan orang lain, sedangkan kita sendiri lalai nak muhasabah diri, kemudian orang itu pula salahkan kita, bila masa kita sama-sama nak perbaiki diri?

6. dari (golongan) jin dan manusia.

Sedar atau tidak sebenarnya dalam diri kita ada seorang teman atau qarin. Teman ini adalah jin dalam diri kita sendiri. Lalai kita terhadap teman ini, dia akan menguasai diri kita sehingga kita di bawah telunjuk jin. Allah telah ciptakan jin daripada api sebagai pembakar semangat manusia. Jika kita mampu tundukkan jin ini seperti mana Nabi Sulaiman menundukkan jinnya (Ifrit), kita mampu melakukan bermacam-macam perkara di atas dunia ini. Seperti mana konsep api berguna menggerakkan enjin dalam kenderaan sekarang. Jin diciptakan untuk tunduk kepada manusia namun kerana ada rasa sombong, jin ini degil untuk tunduk dengan mudah kepada manusia. Kejayaan kita menundukkan jin kita itu, jadilah jin itu Islam. Tetapi bila kita tunduk dengan tipu-daya jin itu sehingga dalam hati kita penuh rasa bangga diri, riak, takbur, bongkak, sombong dan yang sama spesis dengannya, termasuklah kita dalam golongan syaitan yang dilaknat.

Sebab itu dalam Quran selalu menekankan tentang gabungan perkataan jin dan manusia, menunjukkan kita sebenarnya tidak terpisah dengan jin. Kalau masuk syurga, dengan jin-jin ini akan masuk syurga untuk menjadi pelayan kita. Kalau masuk neraka, dengan jin-jin ini juga menemani kita untuk merasai azab seksa, seperti mana hati kita panas bila mendengar pengajaran Quran. Syaitan dalam diri sama-sama terbakar. Itulah logik yang kita boleh rasai sendiri.

Hendak tundukkan jin ini, kita kena guna rasional akal, bukannya beragama menurut membuta-tuli. Jin kini tidak mampu membaca berita langit, maknanya bila kita berfikir mencari ilham, jin tak tahu. Sebab itu ada logiknya kenapa semakin kita berfikir dan menggunakan logik akal, kita makin mudah mengawal diri dan bersabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Semakin kita bersabar, semakin macam-macam idea Allah berikan kepada kita. Melalui idea-idea inilah caranya Allah hendak memujuk hati kita biar pun hati kita bersedih. Setelah jin dalam diri kita ditundukkan dengan idea-idea logik, jin ini akan membakar semangat untuk lakukan yang terbaik dalam hidup kita/ Allah-lah yang boleh membantu kita sehingga jiwa kita tenang dan bahagia. Sesungguhnya janji Allah adalah benar jika kita hanya bergantung harap kepadaNya.

 

(Rujukan: Halaqah.net)

 

 

2 Respons

  1. ISLAM ITU MUDAH TETAPI BILA MANUSIA TAKSUB

  2. Hal yg mudah lah manusia buat sambil lewa….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: