Pertanian: Hubungkait dengan kemelesetan ekonomi

 MEGA: Peringatan tentang zaman meleset telah dijelaskan dalam surah Yusuf ayat 43 hingga 49. Apakah pengajaran yang perlu diambil daripadanya?

NIDZAMUDDIN: Peristiwa kemelesetan ekonomi yang dirakamkan Allah merujuk kepada apa yang berlaku di zaman Nabi Yusuf yang diuji Allah di dalam penjara di masa pemerintahan seorang Raja Agung bernama Raja al-Rayyan bin al-Walid.
Plot penceritaan kemelesetan ekonomi yang melanda bermula dengan mimpi buruk raja tersebut yang disebutkan Allah dalam firmanNya; Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi. Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu. (Yusuf: 43-44).
Raja itu sendiri memang tidak tahu erti mimpi itu. Demikian juga seluruh ‘pakar mimpi’, ahli-ahli nujum dan tukang tilik dikelilingnya. Mereka mengatakan ia adalah Adghathu Ahlam (mimpi yang kacau/bercampuraduk). Sama ada mereka betul-betul tidak tahu atau mungkin juga sengaja tidak mahu memberi tahu alamat buruk mimpi tersebut.
Begitulah sikap dan budaya yang dimuatkan di sini tentang sebahagian para pembesar yang hanya melaporkan hal-hal yang menyenangkan Raja barangkali untuk membodek atau cover kemelut sebenar apa yang berlaku hingga akhirnya ia meledakkan implikasi malah ‘tsunami’ yang mengejutkan di kemudian hari.
Dalam situasi buntu inilah Nabi Yusuf ditampilkan. Ketika itu baginda sedang merengkok di penjara, bukan kerana salah apa-apa, tetapi menjadi korban fitnah. Raja yang diberitahu tentang keahlian Nabi Yusuf menafsir mimpi segera menghantar utusan ke penjara menanyakan erti mimpinya. Nabi Yusuf melayaninya tanpa syarat. (rujuk ayat 47-49 surah Yusuf)
Tegasnya, ayat-ayat surah Yusuf yang berlatarkan kisah kemelut ekonomi di Mesir suatu waktu dahulu, memberi pengajaran berharga akan peri pentingnya pelan strategik dan futuristik menyelamat ekonomi rakyat dan negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan dan perbelanjaan serta pelaksanaan sistem ekonomi yang efisien dan bijaksana.
Dalam ayat tersebut, Nabi Yusuf yang bersuluhkan wahyu Rabbani, menyarankan perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu 14 tahun dengan membuat perimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan, krisis ekonomi yang dikhuatiri menimpa negara dapat dihindarkan.
Salah satu bukti pentingnya pertanian ialah kewajipan menunaikan zakat pertanian terutamanya padi. Bagaimanapun, ramai yang kurang berminat melibatkan diri dalam bidang ini sebabnya ia tidak glamor dan sentiasa bermain dengan lumpur. Adakah benar tanggapan sebegini?

NIDZAMUDDIN: Zakat padi itupun melambangkan kukuhnya ekonomi dan sumber padi yang mencukupi nisab untuk disumbangkan pada asnaf zakat yang lapan. Kalau padi sudah tiada, bagaimana zakat itu boleh berlaku?!
Kita perlu realistik dan memahami sejarah silam sekalipun kita menggapai kemajuan dan berdepan arus perubahan semasa. Pertanian adalah pekerjaan manusia sejak zaman berzaman. Manusia tidak dapat dipisahkan daripada pekerjaan ini. Namun, arus kemodenan sedikit sebanyak meminggirkan amalan mulia ini.
Pembangunan demi pembangunan telah mengurangkan tanah untuk melaksanakan aktiviti pertanian. Sektor pembinaan dan perkilangan yang berkembang pesat mengalihkan perhatian generasi baru. Mereka lebih suka persekitaran kerja yang tidak berlumpur, tiada serangga perosak dan tiada pancaran terik matahari atau dengan bahasa mudahnya kerja ‘Pak Tani’ ini semacam sudah tak glamor di mata generasi alaf baru ini.
Rasulullah pernah mengendalikan pemikiran tidak sihat sebegini. Pada asalnya, penduduk Madinah menganggap kerja-kerja tangan atau hasil kreativiti insan sebagai suatu sektor pekerjaan bagi golongan kelas rendah seperti golongan hamba.
Apabila Rasulullah memegang tampuk pentadbiran negara Madinah, maka Baginda melakukan anjakan paradigma terhadap sektor yang dianggap kelas rendah ini. Melalui sunah, Baginda menggesa peningkatan aspek kerja bertani atau membanting tulang ini dan menggalakkan pembinaan modal insan yang cemerlang.
Rasulullah bersabda yang disampaikan oleh Ibn ‘Abbas r.a bermaksud; “Barangsiapa yang petangnya, penat setelah berjaya menghasilkan produk daripada kerja tangannya sendiri, maka di petang itu, dia diampunkan dosa-dosanya (oleh Allah)”. (riwayat Imam al-Tabarani).
Oleh itu, saya berpendapat, tanggapan kerja bertani adalah low class dan kolot sudah tidak relevan di masa kini lantaran kerja-kerja pertanian di zaman sains dan teknologi di alaf baru ini, lengkap dengan peralatan yang canggih dan moden, malah lebih memudahkan kerja-kerja pertanian yang begitu produktif.
Tambahan pula, sektor pertanian sangat menguntungkan dan menjana ekonomi negara di samping menyumbang kepada keperluan makanan rakyat seluruhnya.
Rasulullah sendiri pernah mengalami zaman perit apabila dipulau oleh kafir Quraisy. Bagaimanakah Rasulullah menghadapinya dan apakah strategi baginda dalam menghadapi kemelesetan ekonomi?

NIDZAMUDDIN: Rasulullah dan kerabatnya dari kalangan Bani Hasyim menghadapi krisis ekonomi yang besar semasa di Mekah di masa kaum kafir Quraisy melakukan dasar sekatan dan pemulauan ekonomi.
Mereka menggantung isi perjanjian bertulis itu di dinding kaabah di mana ia antara lain menegaskan sesiapa yang menghulurkan bantuan sama ada makanan atau pakaian, mereka akan dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Hal ini berlangsung tiga tahun lamanya.
Ketabahan Rasulullah dan umat Islam ketika itu diuji amat berat. Di sinilah ujian kelaparan dan kebuluran yang sangat dahsyat tanpa sebarang pembelaan.
Dengan izin Allah, pemulauan itu termansuh setelah surat perjanjian itu musnah dimakan anai-anai. Ini bagi fasa di Mekah. Baginda tidak ada ruang dan peluang secara politik mahu pun kekuatan ekonomi untuk menangkis kemelut yang menimpa.
Apabila berhijrah ke Madinah, Baginda sekali lagi berdepan dengan krisis dan cabaran ekonomi yang sangat bera. Merangkumi kemelut ekonomi dalam keluarga baginda sendiri yang serba daif setelah hijrah. Ditambah pula krisis ekonomi yang lebih besar iaitu kemelut ekonomi di Madinah sebagai sebuah negara Islam yang ‘baru bertapak’ ketika itu.
Rasulullah menghadapi pelbagai cabaran dan krisis ekonomi di Madinah disebabkan faktor kemiskinan, kurangnya sumber asli bumi dan pertambahan penduduk serta belenggu sistem kapitalisme yang dipelopori Yahudi bagi mendominasi kegiatan ekonomi sebelum Hijrah lagi.
Sistem Kapitalisme yang melampau dan zalim ini menindas golongan miskin, mengenepikan nilai-nilai manusiawi yang luhur dan murni di samping mencanangkan amalan riba dan penipuan yang berleluasa.
Namun, beberapa tahun selepas peristiwa Hijrah, Baginda tampil dengan penuh bergaya menyusun atur sistem pentadbiran negara yang adil, telus dan mengambil kira kepentingan bersama lantas mewujudkan sistem agihan sumber negara di kalangan penduduk Madinah dengan saksama dan sewajarnya.
Langkah bijak Nabi yang paling menarik di sini ialah pembangunan sektor pertanian secara komprehensif melibatkan seluruh rakyat jelata bagi menjana ekonomi negara yang masih ‘muda’ ketika itu.
Dasar pentadbiran Baginda melalui sunahnya terhadap hartanah juga menggambarkan keperihatinan Baginda memajukan tanah-tanah terbiar agar dapat dimanfaatkan demi kemaslahatan umum dan negara.
Justeru, Baginda meletakkan dasar yang begitu saksama bagi mereka yang memajukan tanah terbiar dengan memberikan hak pemilikan hartanah tersebut.
Hadis Baginda bermaksud; “Barangsiapa yang menghidupkan (memajukan) tanah terbiar, maka ia berhak memilikinya”. (Riwayat Imam Malik dalam Kitab al-Muwatta’ dan Imam al-Tirmizi).

Rasulullah juga menjelaskan alasan tindakan tersebut produk melalui sabdanya bermaksud; “Barangsiapa yang memajukan tanah terbiar di mana pemilik asalnya tidak berkemampuan menguruskannya dan ditakuti menghadapi risiko kemusnahan, maka dia berhak mendapatkan manfaatnya”. (Ibn Athir. 1972. Jami’ al-Usul fi Ahadith al-Rasul. Beirut: Dar al-Fikr. Hadith No: 136).

(Dipetik daripada nukilan MUHAMMAD EFENDI di Harmoniser)

Satu Respons

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: