Jalan Mengenal Diri: Cara Bapak Bagindo Mochtar

Assalammu’alaikum wbt

Jalan Mengenal Diri: Cara Bapak Bagindo Mochtar diasaskan oleh Bapak Bagindo Mochtar yang berasal daripada Indonesia. Kata bapak dalam risalahnya; jalan ini adalah salah satu cabang daripada ilmu pengetahuan. Namun demikian, pemerhatian khusus berkenaan jalan ini mengungkaikan secara teoritikal dan praktikalnya menghampiri kepada cabangan ilmu Tasawwuf; iaitu salah satu daripada berbilang cara akan cara khusus dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Sepertimana yang diamalkan oleh pengamal-pengamal ilmu kebatinan, cara yang diperkenalkan bapak adalah secara metafizik. Iaitu penggunaan tenaga rohani. Sesetengah orang menyatakan tenaga ghaib. Ianya tidak terzahir secara lahiriah melainkan secara batiniah. Ilmu pengetahuan ini amnya dipraktikkan dalam segala segi kehidupan. Terutamanya dalam perhubungan serta hubungan dengan alam ghaib. Alam yang dikatakan tidak dapat dilihat secara mata kasar.

Apa yang diajarkan di dalam ilmu pengetahuan ini adalah melatih anak-anak yang telah diijazahkan dalam membuat penyerahan sepenuhnya kepada kuasa yang Maha Esa dalam apa jua perbuatan. Insyaallah dengan adanya serta wujudnya ilmu pengetahuan ini, diharapkan melahirkan generasi baru, iaitu generasi yang serba lengkap dalam menjalankan kehidupan di alam yang fana ini serta Akhirat; bak kata Bapak dalam risalahnya: ‘Diri yang boleh dipakai semasa hidup, dan boleh ditumpang semasa mati’.