Archive for 2 November 2009
Black Hole vs Sijjin
Black Holes tidak dapat dilihat walaupun dengan menggunakan teleskop optik kerana ia menyedut cahaya dari apa jua objek yang mengeluarkan cahaya (bintang sebagai contoh) malahan ia turut menghisap jisim dari apa saja objek yang berhampiran disebabkan oleh tarikan gravitinya yang amat kuat sekali.
Matahari juga boleh menjadi calon Black Hole disuatu hari nanti apabila ia kehabisan bahan bakar termonuklear di mana ia akan meletup menjadi Supernova sebelum jisimnya meruntuh kedalam dirinya sendiri dengan menghasilkan ketumpatan jisim yang amat tumpat menyebabkan kekuatan graviti dalaman bertambah berkali-kali ganda sehingga mampu menarik mana-mana cahaya yang melintasinya.

Secara saintifiknya, Black Hole digelar sedemikian rupa kerana ia tidak dapat dilihat lantaran ketidak wujudan cahaya padanya, tetapi apabila gas-gas dan debu-debu objek samawi misalnya bintang-bintang ataupun nebula ditarik kepadanya, bahan-bahan ini berkelajuan tinggi berkadar dengan suhu yang hasilnya adalah letusan bertenaga tinggi yang sudah tentu boleh dikesan dengan teleskop radio.
Bukanlah disebabkan Black Hole itu tidak dapat dilihat maka ia menjadi satu hipotesis tetapi ia sebenarnya menjadi satu FAKTA apabila cerapan menggunakan teleskop radio mengesahkan denyutan yang menjadi bukti kewujudannya. Denyutan yang dimaksudkan di sini adalah Black Hole membebaskan sejumlah tenaga bergelombang pendek yang terdiri dari sinar Gamma dan X akibat penghasilan suhu yang amat tinggi diterasnya.
Penghasilan suhu yang amat tinggi ini bersumberkan dari jisim jasad-jasad lain yang disedut dan ditelannya hatta cahaya sekalipun. Terdapat banyak calon-calon Black Holes di angkasa lepas seperti Kuasar dan juga pusat galaksi termasuk Galaksi Bima Sakti kita. Setiap galaksi adalah berputar yakni ia mempunyai banyak ‘lengan’ yang bertindak seperti jejari kipas yang berputar. Sistem suria kita berada di atas lengan Orion.
Tentu anda akan faham jika dikatakan bahawa Buruj Orion (Si Pemburu atau Osiris) yang kita mudah melihatnya saban malam pada bulan yang tertentu adalah berada di atas salah satu lengan Galaksi Bima Sakti (Milky Way’s spiral arms). Justeru lengan Orion telah dinamakan kerana ia mengandungi bintang-bintang dari konstellasi (Buruj) Orion yang berada di atas salah satu lengan pusaran Bima Sakti yang menampung kedudukan sistem matahari kita ini.
Putaran galaksi diketahui sebagai terkuat di pusatnya (galactic center). Di sinilah barangkali Super-massive Black Hole (Lubang Hitam Super-tumpat) yang terkuat wujud di alam semesta kerana ia menghasilkan letusan sinaran yang amat dahsyat di mana gas yang berputar mengelilingi lubang hitam akan merupai kolam pusingan (lubuk maut angkasa) yang amat-amat besar yang berpusing beberapa ribu kilometer per saat! Di sini gas-gas menjadi padat dengan bintang-bintang berkumpul sambil pusar-memusar, suhu meningkat dan memanaskan kabus gas di sekeliling.
Gas dan bintang-bintang itu ditarik mengelilingi lohong hitam dan menghadapi risiko tertarik kedalam di mana sesetengah bahan ada juga yang terpelanting keluar. Bahan-bahan yang ditarik atau ditendang sebenarnya menunjukkan ke arah lohong hitam galaksi. NGC1275 merupakan calon yang sesuai bagi sebuah Black Hole tetapi sebenarnya ia adalah sebuah galaksi walau seakan-akan Kuasar.
Kuasa tenaga NGC1275 amat kuat, gelombang radio yang dipancarkan adalah lebih banyak dari cahayanya sendiri. Sebab itu ia tidak kelihatan luar biasa jika dilihat secara optikal. Walau tampak normal, ia mempunyai denyutan radio yang sangat berkuasa di pusatnya. Cuma satu benda saja yang boleh keluarkan begitu banyak tenaga iaitulah lohong hitam yang besar dan ianya mungkin terdapat di tengah-tengah pusat tersebut.

NGC1275 menyinar dengan keamatan cahaya 100 ribu juta kali lebih terang dari matahari walau ia dipancarkan dari kawasan yang kecil sahaja di mana cahaya ini pastinya datang dari lohong hitam besar yang berputar itu. Galaksi dibentuk oleh gas hidrogen yang disatukan oleh graviti, ditengah-tengahnya gas itu dimampatkan. Jika cukup mampat, lohong hitam akan terbentuk.
Walaupun jika lohong hitam yang terbentuk itu hanyalah sebesar sistem suria kita, ia tetap dapat menarik apa jua yang melintasi atau menghampirinya. Kuasar (Quasar) mempunyai tenaga yang jauh lebih kuat dari sesuatu galaksi, mungkin daya graviti lohong hitamnyalah yang memberi tenaga kepadanya. Selain dari Kuasar dan pusat galaksi, andaian sesebuah bintang untuk menjadi black hole juga tidak dapat ditolak.
Bintang Cygnus X-1 iaitu sebuah bintang kembar dua yang memancarkan sinar-X paling terang dalam Buruj Cygnus (Angsa) merupakan calon bagi sebuah Black Hole. Ia menjadi calon bagi Black Hole kerana salah sebuah kembarnya yang tidak dapat dilihat sedang menyedut gas-gas dan jisim dari kembarnya yang satu lagi. Sedutan gas-gas dan jisim ini meletuskan radiasi sinar-X paling hebat di angkasa.
Salah satu calon Black Hole yang lain dari kategori bintang ialah V861 Scorpii di Buruj Scorpius. Pada 26 Mei 1994 yang lalu, berdasarkan pemerhatian teleskop angkasa lepas Hubble (HST), NASA telah mengumumkan penemuan sebuah Black Hole. Ia begitu jelas kelihatan di mana bahan-bahan serta gas disedut masuk kedalam satu lubang yang dikelilingi oleh awan-awan gas (nebula).
Apa yang menjadi misteri paling mengejutkan ialah rakaman gelombang radio berfrekuensi ultra menggunakan sistem komputer sensitiviti bunyi kuasa tinggi telah dapat meghuraikan (extraction) raungan kesakitan dari lubang yang amat dalam itu. Rahsia ini dibongkarkan oleh seorang yang rapat dengan NASA. Adakah teleskop Hubble telah menemui “Neraka”? Tidak.

Hubble dengan peralatan saintifik yang ada padanya telah secara tidak langsung membuktikan kewujudan lubang hitam di angkasa. Selepas beberapa abad bertelagah pendapat, saintis akhirnya berhadapan dengan kepercayaan agama. Rakaman pita magnetik imej dan frekuensi bunyi memberi bukti terhadap apa yang dikenali sebagai roh tanpa sinar yang terbakar dan menjerit kesakitan dalam penyeksaan.
Menggunakan resolusi peleraian imej sangat tinggi, HST merakamkan imej seakan-akan roh-roh manusia yang terbakar dalam api yang sangat besar di dalam lubang hitam angkasa itu. Namun begitu, pihak NASA tidak memberitahu hal sebenar kecuali seorang lain yang berhubung rapat dengannya yang telah mengakui melihat imej tersebut serta rakaman sebenar pita tambahan pula krew NASA juga sangat yakin bahawa imej seakan-akan roh-roh yang diambil tersebut memang sama bentuk dengan fizikal manusiawi.
Tidak diketahui di mana imej tersebut kini. Sebenarnya banyak lagi imej yang boleh membawa kepada kebenaran Islam telah disembunyikan oleh pihak NASA dengan alasan sulit dan rahsia besar (Top Secret Classified). Sekarang apa telahan anda? Itriah mahukan bukti Black Hole dari Al Quran sementara Mior Latfee merujukkan kepada ayat 19 Surah An Nabak dan ayat 16 Surah Al Haaqqah. Sebenarnya tidak sukar untuk mempertemukan ayat atau dalil Al Quran berkenaan Black Hole dengan adanya penemuan dari NASA seperti yang disebutkan di atas itu tadi.
Adakah penemuan “Neraka” di angkasa itu benar-benar neraka dalam erti kata yang sebenarnya? Walaupun kita sedar dan tahu bahawa neraka itu benar sepertimana yang disebutkan dalam Al Quran dan Hadis, sekarang kita berdepan pula dengan penemuan “Neraka” dari ahli sains astronomi. Mari kita lihat hadis Nabi SAW berkenaan neraka. Bersabda Rasulullah SAW:
“Api kamu ini adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian api di neraka Jahannam. Para sahabat mengatakan: Yang ini pun sudah mencukupi. Berkata Nabi: Bahkan api neraka itu melebihi (api dunia) sebanyak enam puluh sembilan kali, setiap bahagiannya sama panasnya.”
Bersabda baginda lagi:
“Dibakar di atas neraka Jahannam seribu tahun hingga menjadi merah. Kemudian dibakar lagi selama seribu tahun hingga menjadi putih. Kemudian dibakar lagi selama seribu tahun hingga menjadi hitam legam seperti malam yang gelap gelita.”

Adakah takwil dari sabda Nabi “hitam legam” boleh merujuk kepada lohong hitam yang panas itu? Wallahua’lam. Tetapi sekurang-kurangnya begitulah kerana lohong yang hitam sememangnya benar-benar dahsyat panasnya! Hakikat ini tidak dapat ditolak.
Namun Black Hole tidak dapat menjadi “Neraka” dalam erti kata hakiki walaupun penemuan NASA mengesahkan bagaimana bunyi raungan datang dari sumber Black Hole itu. Kenapa saya berkata begini? Ikuti alasan saya yang lain.
Saya tidak ingin mengatakan jumpaan NASA itu satu neraka tetapi biarlah saya kemukakan Hadis dan dalil Al Quran berkenaannya. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya bila seorang mukmin akan putus hubungannya dengan dunia dan segera akan menuju ke akhirat, maka datang kepadanya para malaikat dengan wajah terang bercahaya seperti terangnya sinar matahari. Mereka duduk sejauh pandangan mata orang mukmin itu. Kemudian datang malaikatul maut dan berkata: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah menuju pengampunan dan kerinduan Allah. Maka keluarlah dan dibungkus dengan kain putih berbau amat harum dan dibawanya pergi. Malaikat lain bertanya: Siapa orang itu? Jawabnya: Fulan bin Fulan, namanya terbaik yang dipakainya di dunia. Maka ketika pintu langit dibuka, malaikat bersama menyembutnya. Kemudian Allah bertitah: Tempatkan hambaku ke dalam ILLIYYIN (langit ke tujuh tempat orang mukmin). Setelah itu dikembalikan ke bumi………………………….” [hadis ini amat panjang sekali, memadai ditaip setakat untuk menjelaskan. Jika hendak baca kesemuanya sila dapatkan buku bertajuk "Ibnul Qayyim: ROH: Perjalanan Bersama Roh Di Alam Lain: Perbahasan dan Komentar; Leila Mabruk" keluaran Thinkers Library]
Lain pula halnya dengan si kafir laknatullah yang hidupnya hanya mengabdi dunia semata-mata. Bila menjelang maut, bukan wajah seri malaikat yang datang tapi malaikat bermuka hitam dan kelam dengan pakaian berbulu. Didekati kepalanya, “Wahai jiwa yang jahat, keluarlah menuju kemurkaan Allah”. Berkerumun malaikat saling berebut mencabut jasad. Dibungkus kain yang juga berbulu dengan bau yang amat busuk. Dibawanya ke atas. Malaikat yang dilewati bertanya: “Siapa si busuk itu?” Jawabnya: “Fulan bin Fulan”, disebutkan nama yang paling jelek di dunia. Sampai di langit, tak dibuka pintu baginya. Allah bertitah: “Catatlah namanya pada SIJJIN (di bumi terendah dan ketujuh) dan rohnya ditempatkan di sana. Lalu firman-Nya lagi: “Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka seoalah-olah ia jatuh dari langit, lalu disambar burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh”. (Al Haj ayat 31).
Apakah itu SIJJIN? Jika anda buka Surah Al Muthaffifin iaitu Surah ke-83 ayat 7 hingga 22 diterangkan apakah itu SIJJIN dan apakah itu ILLIYYIN. Menurut tafsir Quran menyebut bahawa SIJJIN itu adalah ‘PENJARA’ di mana kitab amal orang-orang yang jahat itu terletak di situ dengan kesempitan, kegelapan, kehinaan dan penyeksaan di penjara itu menjadi gambaran nasib malang dan kecelakaan.
Manakala ILLIYYIN ertinya tempat yang tinggi dan mulia di mana kitab amalan orang-orang soleh (baik) berada dan disimpan di situ, tidak akan hilang dan tidak akan rosak. Jika penerangan berkenaan laungan penyeksaan orang-orang yang tercelaka dinyatakan dalam Al Quran itu tadi sebagai memperlihatkan akan apa yang telah dijumpai oleh pihak NASA. Barangkali saja SIJJIN adalah lubang siksaan atau telaga yang amat dalam yang kita kenali sebagai Black Hole dalam dunia saintifik ini.
Roh orang-orang kuffar akan ditempatkan terlebih dahulu di SIJJIN (Black Hole) ini sebelum ditempatkan pula di Neraka pada hari kiamat. Inilah hakikatnya. Wallahua’lam bil ghaib. Saya tidak menganggap Neraka yang sebenar (AN NAR atau Hell) berada dalam Alam Semesta kerana apa yang kita nampak walaupun satu titik cahaya di satu penjuru Alam Semesta dengan menggunakan teleskop yang paling berkuasa di dunia ini sekalipun sebenarnya masih berada dalam lingkungan Langit Pertama yang diperkatakan jauhnya oleh saintis kaji bintang sebagai 15 ribu juta tahun cahaya.
Menurut apa yang saya faham, jika langit diperkatakan mengandungi tujuh lapis, perlu saja menempuhi tujuh pintu langit untuk sampai ke sana sama ada ke Syurga atau ke Neraka. Saya juga berpendapat bahawa jika koordinat galaktik di mana satah pelataran Galaksi Bima Sakti dijadikan asas paksi Utara dan Selatan Alam Semesta (perhatian: Alam Semesta bermaksud rantau yang dikelilingi Langit Pertama), maka paksi Utara Galaksi Bima Sakti (paksi Utara galaktik) mungkin menuju terus ke Syurgawi manakala paksi Selatan Galaksi Bima Sakti (paksi Selatan galaktik) pula mungkin menuju terus ke arah Neraka.
Itupun perlu menempuhi kejauhan jarak jejari dari pusat Galaksi Bima Sakti ke pintu Langit Pertama sahaja sudah sejauh 15 ribu juta tahun cahaya (perhitungan saya: 14 ribu 285 juta 714 ribu 290 tahun cahaya atau jarak 135 ribu 150 juta 402 ribu 857 billion kilometer)!! Itu belum lagi menempuhi tujuh lapis langit keseluruhan yang saya perkirakan sebagai sejauh 100 ribu juta tahun cahaya atau 946,052,819,600,000,000,000,000 km atau 946 ribu 52.8196 trillion kilometer!! (sila baca dalam unit Imperial, bukannya dalam unit Amerika).
Apa yang telah saya dapati menurut kajian saya ini adalah angka bagi jarak dalam kilometer dari pusat Galaksi Bima Sakti ke final frontier Langit ke-7 adalah bersamaan dengan perjalanan cahaya matahari selama setahun yang memungkinkan cahaya matahari akan mengambil masa selama 100 ribu juta tahun untuk tiba di pintu Langit ke-7 andai semua pintu langit tadi dibukakan serentak menurut konseptual Isra’ Mi’raj. Wallahua’lam bil ghaib.

Saya bukannya meneka-neka atau mereka-reka seperti apa yang telah saya pertunjukkan itu tetapi berdasarkan penyelidikan semenjak 13 tahun yang lalu. Benar atau tidak hanya Allah jualah yang lebih mengetahui kerana saya hanya mencuba, satu cubaan yang tidakpun ingin bercanggah dengan Islam tetapi sebagai satu KENYATAAN bahawa tidak mungkin ada siapa pun di kalangan manusia atau jin atau syaitan yang berupaya untuk melintasi jarak sejauh itu.
Jadi, sesiapa yang berasa tidak redha takdir Allah ke atasnya di alam dunia ini, perlulah dia keluar dari lingkungan jarak 946 ribu 52.8196 trillion km!! Bagaimana mungkin? Firman Allah dalam Surah Ar Rahman ayat 33:
“Hai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuatan.”
Astaghfirullahal ‘azhim. Begitulah tuan-tuan. Kesimpulannya Black Hole dengan Sijjin kemungkinannya adalah satu istilah yang sama. Terdapat amat banyak sekali Black Hole atau Sijjin di Langit Pertama ini yang menunggu sesiapa saja yang mungkar untuk disumbatkan rohnya kedalamnya.
Ayat 19 Surah An Nabak dan ayat 16 Surah Al Haaqqah yang diperturunkan oleh saudara Mior Latfee bukannya pembayang yang tepat kepada Black Holes kerana ia berkenaan pra-kehancuran ataupun kehancuran total Alam Semesta dari Langit Pertama sampai Langit Ke-7. Jangan fikir angka 7 bermakna angka bagi orang-orang dahulukala yang merujuk kepada infiniti kerana ketujuh-tujuh lapisan langit adalah pasti menurut Al Quran bahkan spektrum cahaya juga mempunyai 7 lapis iaitu ungu, indigo, biru, hijau, kuning, jingga dan merah.

Mungkin warna setiap pintu yang menjadi sempadan setiap lapis langit juga demikian di mana pintu Langit Pertama adalah berwarna ungu. Justeru apabila kiamat, semua pintu langit pecah berderai maka pintu Langit ke-7 memperlihatkan rupanya dengan warnanya sebagai kilapan merah mawar sepertimana yang diterangkan oleh Allah dalam Surah Ar Rahman ayat 37:
“Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti kilapan minyak”.
Amat banyak sekali ayat Quran yang menerangkan kejadian kiamat terutama sekali dalam juz yang terakhir.
(Dipetik daripada Falak.net).
5 comments November 2, 2009
Tentang 12 Planet dan perkaitannya dengan mimpi Nabi Yusof AS
(Rujukan: Falak Netters)
Sebenarnya jumhur ulamak sepakat menafsirkan bahawa kawakib atau kaukab sebagai bintang beredar ataupun planet. Merujuk kepada daripada tafsiran ini dapat disimpulkan bahawa apa yang dimimpikan oleh Nabi Yusuf selain merujuk kepada 11 orang adik-beradiknya dari keluarga Nabi Ya’aqub adalah juga merujuk kepada sistem matahari. Mungkin dapat ditakwilkan dengan tepat bahawa kekacakan dan kelebihan Nabi Yusuf dapat diumpamakan dengan keindahan dan kelebihan planet Bumi berbanding jasad cakerawala lain. Justeru Nabi Yusuf adalah putera ke-7 dari dua belas putera Nabi Ya’aqub (Bunyamin adiknya adalah yang ke-12) tetapi ini tidak selari dengan kedudukan sebenar bumi yang ke-3.

Abaikan keselarian ini kerana apa yang penting adalah fakta selanjutnya. Jika mimpi Nabi Yusuf itu boleh ditafsirkan kepada sebelas planet, matahari dan bulan maka ia bermaksud kepada sebelas saudaranya, ayahandanya dan bondanya. Oleh kerana Nabi Ya’aqub mempunyai 12 orang putera, maka jumlah planet bukanlah sebelas sebalik adalah juga 12 yang bersesuaian dengan maksud ayat
“aku melihat mereka semua tunduk hormat kepadaku”.
Jadi, Nabi Yusuf adalah major dari dua belas beradik. Kenapakah terdapat hanya 9 planet sahaja dalam sistem solar? Saya akan kemudiankan hal ini. Menurut tafsir Ibnu Kasir pada muka surat 468 ada satu petikan pertanyaan seorang Yahudi kepada Rasulullah tentang nama-nama 11 kawakib (planet) yang disebut dalam Al Quran. Nama-nama itu ialah:
1. Jaryan (Utarid / ‘Athorid ?)
2. Ath Thoriq (Kejora / Zuhrah ?)
3. Al Ardh (Bumi)
4. Adz Dzaiyal (Marikh / Al Qohir ?)
5. Dzul Kanafat (Musytari ?)
6. Qobas (Zuhal ?)
7. Wasab (Uranus @ Waruna ?)
8. ‘Umudan (Neptun ?)
9. Al Faliq (Pluto ?)
10. Al Mishbah (X ?)
11. Adh Dhoruh (Z ?)
12. Dzul Farigh (Muntaha ?)
Untuk pengetahuan anda, Al Ardh adalah nama bumi yang disebut secara meluas di dalam Al Quran dan sengaja saya tambahkan pada baris ke-3 untuk mencukupkan bilangan 12 buah planet. Sementara itu terdapat apa yang saya berikan nama-nama bagi tiga lagi planet (yang belum dijumpai) selepas Pluto sebagai planet X, Z dan Muntaha.
Nama Muntaha adalah dari perkataan Arab “antah” yang bermakna “yang terpinggir” atau “yang terhujung” dan sesetengah orang Islam ada yang telah terbiasa dengar dengan nama Muntaha ini. Adakah boleh kita membuktikan tiga buah lagi planet itu memang wujud atau khayalan semata? Bagaimana kita dapat mendeduksikan satu kemungkinan terhadap kebenaran yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW?

Kita akan menggunakan satu teknik yang sangat asas berdasarkan ayat 47 Surah Al Hajj:
“Dan mereka meminta kepadamu agar azab disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janjinya. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun dari tahun-tahun yang kamu hitung.”
Dan seterusnya di dalam terjemahan Ayat 5 Surah As Sajdah:
“Dia mengatur urusan dari Langit ke Bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.”
Sedarkah kita kepada malam Lailatul Qadar yang satu malam itu beribadah adalah lebih baik dari seribu bulan (83 tahun 4 bulan). Apakah perkaitannya pula dengan semua ini?? Ada jawapannya terhadap semua clue ini. Saya sekadar mencuba, kebenarannya adalah hak Allah jua. Dalam surah Al Ma’arij ayat 4:
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (mengadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya 50 ribu tahun”.
Bagaimanakah dengan 1 hari = 1000 tahun malahan ada pula 1 hari 50,000 tahun? Apakah takwilan anda? Sebenarnya ia sama saja cuma pernisbahan mengikut skala tertentu iaitu jika kita ambil masa 1 hari sebagai 24 jam maka pembahagian setiap jam dari 1000 dan 50,000 tahun adalah seperti berikut:-
1 jam = 41.66666667 tahun = 2,083.3333333 tahun
2 jam = 83.33333333 = 4,166.6666667
3 jam = 125 = 6,250
4 jam = 166.66666667 = 8,333.333333
5 jam = 208.33333333 = 10,416.666667
6 jam = 250 = 12,500
7 jam = 291.66666667 = 14,583.33333
8 jam = 333.33333333 = 16,666.666667
9 jam = 375 = 18,750
10 jam = 416.66666667 = 20,833.333333
11 jam = 458.33333333 = 22,916.666667
12 jam = 500 = 25,000
dan seterusnya hingga jam ke-24 = 1000 th. = 50,000 tahun
Bolehkah kita membuat andainya bahawa waktu atau tahun di tempat Tuhan dapat dipiawaikan dengan waktu atau tahun di tempat kita? Tentulah tidak boleh kerana apa yang dimaksudkan dengan firman Allah itu sebenarnya sukar hendak ditentukan secara realiti dengan apa yang kita rasai dan alami melainkan jika kita kita berada di angkasa. Waktu dan tahun berlaku disebabkan putaran bumi diatas paksi selain bumi ini mengedari matahari. Sebenarnya, andai kita dapat keluar dari bumi dan langsung tidak mengedari matahari, waktu dan tahun tidak akan berlaku ke atas diri kita.
Merujuk kepada teori kerelatifan Einstein dikatakan ada seorang pemuda berusia 30 tahun meninggalkan anaknya yang berusia 1 tahun di bumi menuju ke satu sistem bintang sejauh 35 tahun cahaya dengan kapal angkasa berkelajuan 99.99 peratus kelajuan cahaya. Pemuda ini akan mengambil masa selama 70 tahun untuk pergi dan pulang yang bermakna anaknya di bumi akan mencapai umur 71 tahun sewaktu pemuda ini tiba di bumi tetapi disebabkan pemuda ini seakan-akan tidak “dilintasi oleh waktu” maka ia hanya mengalami pertambahan sekitar 10 tahun sahaja dari umurnya. Bayangkan pemuda ini berusia 40 tahun sedangkan anaknya telahpun 71 tahun!! Mungkin waktu dan tahun yang kita hitung adalah dimaksudkan oleh Allah pada alam cakerawala kita bahkan mungkin bagi seluruh alam semesta yang dipenuhi segala galaksi yang kita diami ini. Wallahu a’lam.

Apa yang ingin saya sentuh ialah bukanlah perwakilan setiap jam yang saya buat itu untuk mewakili mana-mana yang firmankan oleh Allah seperti 1:1000 ataupun 1:50,000. Akan tetapi ialah apa yang telah ahli astronomi jumpai semenjak beberapa kurun yang lalu. Apa yang dijumpai? Iaitulah jumlah pusingan orbit-orbit planetari yang berjumlah 9 dari Utarid hingga ke Pluto. Bagaimana? Di bawah adalah faktanya:-
1. Utarid = 0.240849589649 tahun
2. Kejora = 0.615195693 tahun
3. Bumi = 1 tahun
4. Marikh = 1.8807512468 tahun
5. Musytari = 11.8567843032 tahun
6. Zuhal = 29.423742449 tahun
7. Uranus = 83.7565662715 tahun
8. Neptun = 163.704652246 tahun
9. Pluto = 248.54 tahun
Apa yang anda nampak dari perbandingan di antara perbandingan jumlah tahun orbit planetari dengan jumlah tahun bagi perwakilan setiap jam di atas? Cuba celik mata luas-luas terhadap perkara yang menjadi persamaan ini dahulu. Jika demikian bermakna malam Lailatul Qadar adalah lebih baik dari satu pusingan planet Uranus…. kan? Jika hakikat kesamaan di atas boleh memulakan kita dengan kefahaman baru terhadap kemungkinan terdapat tiga lagi planet seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dan seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam Surah Yusuf, boleh saja kita membuat jujukan yang telah ditandakan merah di atas bermula dari planet Uranus iaitu:-
7. Uranus = 83.33333333 tahun
8. Neptun = 166.6666666 tahun
9. Pluto = 250 tahun
10. X = 333.3333333 tahun
11. Z = 416.66666666 tahun
12. Muntaha = 500 tahun
Jadi, kebarangkalian yang boleh kita dapati ialah jumlah tahun kemungkinan orbitan bagi tiga lagi planet yang belum ditemui hingga ke masa ini ialah planet X, Z dan Muntaha. Menggunakan Hukum Kepler Ke-3 di mana kuasa dua jumlah orbit planet-planet mengelilingi matahari adalah bersamaan dengan punca kuasa tiga bagi jaraknya dalam 1 Unit Astronomi (AU). Maka, kita akan membuat taksiran kejauhan jarak orbit ketiga-tiga planet tersebut dari matahari sebagaimana berikut:-
7. Uranus = 83.33333 dikuasa duakan = 6944.4444444; kemudian dipuncakuasa tigakan = 19.07857071 AU X 149,597,870 km = 285,411,3541 km #
8. Neptun = 30.28534321 AU X 149,597,870 km = 4,530,622,836 km #
9. Pluto = 39.6850263 AU X 149,597,870 km = 5,936,795,405 km #
10. X = 48.07498567 AU X 149,597,870 km = 7,191,915,458 km #
11. Z = 55.78607917 AU X 149,597,870 km = 8,345,478,619 km #
12. Muntaha = 62.99605249 AU X 149,597,870 km = 9,424,075,272 km #

perhatian: planet-10 adalah planet X yang sering diperbincangkan oleh banyak orang. Sekarang kita telah mendapat maklumat secara tidak langsung berkenaan jarak jauh ketiga-ketiga planet yang masih majhul (invisible) dari pencerapan kita di bumi. Saya sangat tertarik hari dengan jumpaan yang saya alami ini untuk diperbandingkan dengan apa yang telah dihitung oleh Ahli Falak Malaysia terkemuka, Allahyarham Hj. Mohd. Khair bin Hj. Mohd. Taib iaitu jarak planet ke-10 (planet X) yang beliau hitung adalah 7,200,000,000 km dari matahari! Saya tidak tahu pula bagaimana beliau mengirakannya tetapi konsep saya adalah seperti yang telah saya sampaikan di atas untuk para Falak Net sekalian. Mohd. Khair pernah berkata dengan penuh yakin:
”planet ke-10 dan ke-11 itu memang ada, hanya menunggu masa saja untuk ditemui oleh ahli falak masa akan datang”.
Insya Allah. Itulah juga harapan saya. Tapi bagaimana hendak kita carikan ketiga-tiga planet ini di angkasa yang nun jauh di sana??? Cuba perhati senario ini:-
Katakan kita hendak mencerap planet terpaling pinggir iaitu planet Muntaha yang kemungkinan orbitnya mengelilingi matahari adalah selama 500 tahun bumi. Kita darabkan 500 dengan 365.2421909722 hari = 182,621.095485 hari. Oleh kerana sepusingan -= 360 darjah maka; 360 darjah dibahagikan dengan 182,621.095486 hari = 0.001971294713 darjah sehari. Bermakna planet Muntaha beranjak sebanyak 7.0966609668 arka second bagi setiap hari bumi !!!
TERLALU PERLAHAN !! Bagaimana mungkin akan dapat dicerap?? Dalam setahun tropikal bumi, planet Muntaha baru akan beranjak sebanyak 43 minit 10.281252884 saat arka. Untuk mendapatkan anjakan sebanyak 1 darjah arka bagi planet Muntaha, kita mungkin perlu mencerap selama 507 hari 6 jam 44 minit 22.914873612 saat di bumi atau 1 tahun 142 hari 55 minit 37.614720 saat !! Ini satu pekerjaan pencerapan bintang yang paling meletihkan sekali dan planet tersebut seakan-akan salah satu dari sekian banyak bintang-bintang tetap di langit untuk dikenalpastikan !! Berkenaan planet X (planet ke-10) suka saya membawakan satu maklumat yang diberikan oleh seorang ahli kajibintang Amerika iaitu:- Planet X
1. Jisim = 2 hingga 5 bumi
2. Jarak = di antara 50 dan 100 AU (saya menghitungkan 48.07498567 AU)
3. Tempoh orbit = 350 hingga 1000 tahun (saya menghitungkan 333.3333333 tahun)
4. Magnitud = 14
5. Unsur orbitan: paksi semi major sepanjang 101.2 AU keeksentrikan orbit 0.41 (sangat eksentrik) kesengetan satah orbit 32.4 dari ekliptik (sangat senget)
6. Simpul menaik/ ascending node = 275.4 dari jarak Hamal
7. Dalil Perihelion berada pada 208.5 dari jarak Hamal
8. Epoch perihelion berlaku pada 6 Ogos 1789
9. Sifat orbit boleh jadi dari jenis bulat atau lonjong atau parabola ataupun hiperbola
Sementara itu, di London pada 11 Disember 1995; seorang ahli astronomi amatur Britain bernama George Sallit menjumpai sebuah planet kecil yang terletak sejauh 645 juta kilometer dari bumi yang telah disahkan oleh sekumpulan pakar dari Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics (HCSA) di Boston, Massachusett, USA. Planet yang terletak di antara orbit Marikh dan Musytari dan bergaris pusat 32 itu dinamakan sempena namanya “Sallit One” (bukan Solo One: filem tv dari Britain yang ditayangkan di Malaysia tahun 1981 dahulu !) Pada bulan September 1998, sekumpulan ahli astronomi dari San Francisco State University telah menemui sembilan dari 12 buah planet yang mengorbit bintang HD210227. Jarak sistem bintang HD210227 ini adalah sejauh 68 tahun cahaya dari matahari. Sebelum saya menamatkan penjelasan yang dramatik ini, apa kata saya sudahi dengan kalam Allah berikut:-

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit dan Kami telah menghiasinya bagi orang-orang yang memandangnya” Al Hijr ayat 16.
“Sesungguhnya dalam penciptaan Langit dan Bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan Langit dan Bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Ali ‘Imran ayat 190 – 191.
Penemuan yang amat hebat bagi pengkaji di Falak Netters. Syabas!
3 comments November 2, 2009